Friday, April 2, 2010

Visi & Misi

 


 

VISI
Melahirkan insan soleh di Malaysia melalui pendidikan pra sekolah sebagai elemen terpenting

MISI
Meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran, pengurusan serta kuantiti PASTI di Malaysia bagi menjadikan PASTI pilihan utama kepada masyarakat yang cintakan pendidikan Islam.

OBJEKTIF

  1. Menyediakan proses pendidikan awal yang berorientasikan sistem pendidikan Islam ke arah melahirkan anak yang soleh, berilmu dan beramal.
  2. Mendidik jiwa dan akal kanak-kanak dengan didikan Islam bersumberkan ajaran Al-Quran dan Hadis.
  3. Membimbing kanak-kanak supaya menghayati ibadah, akhlak dan cenderong melakukan makruf serta meninggalkan mungkar.
  4. Melatih kanak-kanak membaca, menghafaz dan menghayati Al-Quran , doa dan zikir.
  5. Memberi pengetahuan kepada kanak-kanak asas-asas bahasa, matematik dan komunikasi ke arah kebolehan membaca, mengira, menulis dan menghafal. 


Warna :

Putih
melambangkan kesucian Islam itu sendiri dan fitrah anak-anak di alamnya yang suci, putih, bersih dan sedia dicernakan mengikut fitrah Islam itu sendiri.
 
Hijau melambangkan kesuburan di mana setiap benih itu perlu kepada baja dan perhatian lain yang penuh dalam menghasilkan tunas-tunas yang sihat dan InsyaAllah akan menghasilkan pula pohon-pohon yang subur lagi bermanfaat. Begitulah juga dimaksudkan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dalam usaha menghasilkan insan-insan yang bertaqwa, berdisplin serta mujahid-mujahid yang benar.
 
Kesimpulan warna hijau putih melambangkan organisasi Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 

Kurikulum


 

FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.
 
FALSAFAH PENDIDIKAN ISLAM

Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam bedasarkan Al-Quran dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara kearah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.
 
FALSAFAH PENDIDIKAN PASTI

Pendidikan PASTI merupakan satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek sahsiah, keilmuan dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada Islam, Iman dan Ihsan. Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognitif, psikomotor, bahasa sosio emosi dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam. Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredhai oleh Allah Swt. di dunia dan di akhirat.
 

Mukadimah

Kurikulum Pusat Asuhan Tunas-Tunas Islam (PASTI) merupakan suatu kurikulum prasekolah ynag dibina khusus khusus untuk pengajian kanak-kanak berumur 5-6 tahun berdasarkan falsafah Pendidikan Negara (FPN), Falsafah Pendidikan Islam (FPI) dan Falsafah Pendidikan PASTI (FPP) yang melibatkan anak-anak PASTI dan guru (mualumah).

Kandungan dan Fungsi Kurikulum PASTI

Kurikulum PASTI adalah megikut susunan kandungan yang diajar secara tersusun dan sistematik bagi memenuhi serta mencapai matlamat Tarbiyyah Islamiyyah. Pada dasarnya kurikulum ini adalah pancaran kosep Insaniyyah dari Manhaj Al-Hayah Al-Rabbani yang berpaksikan Iman, Islam dan Ihsan. Fungsinya ialah bagi mengawal dan memelihara fitrah manusia supaya potensi-potensi rohaniah, aqilah dan jasmaniyah tidak dirosakkan oleh pengaruh alam sekeliling yang merendahkan kualiti iman manusia. Selain itu, kurikulum PASTI juga berfungsi untuk memperkembangkan fitrah serta potensi-potensi kemanusiaan selaras dengan kehendak matlamat Pendidikan Islam.

Rujukan Kurikulum PASTI

Rujukan kurikulum PASTI ialah Al-Quran, Sirah Rasul, Surah Sahabat r.a dan Sejarah Peradaban serta Tamadun Islam. Kesemua rujukan mengutarakan kepentingan kepada pengajaran Tauhid, Fiqh, Akhlaq dan Surah di samping pengajian bahasa-bahasa, ilmu-ilmu yang berkaitan dengan kehidupan manusia and riadah.

  

BIDANG PENGAJIAN

  

UNSUR TARBIYAH

BIDANG ILMU

KOMPONEN MATAPELAJARAN

  

 Penekanan 5 unsur Tarbiyah :
 1. Tarbiyah Imaniyyah (Aqidah)
 2. Tarbiyah Ruhiyyah (Ruh)
 3. Tarbiyah Khuluqiah (Akhlak)
 4. Tarbiyah Aqliah (Intelek)
 5. Tarbiyah Jasadiah (Jasmani)

 Merangkumi 4 bidang ilmu :
 1. Ilmu Fardhu Ain
 2. Ilmu Fardhu Kifayah
 3. Ilmu Alat
 4. Sumber Ilmu
 

 Merangkumi :
  1. Bahasa Melayu
  2. Bahasa Inggeris
  3. Bahasa Arab
  4. Jawi
  5. Matematik
  6. Sains Sosial & Pembangunan Insan
  7. Al Quran
  8. Peribadi Muslim
  9. Pra Penulisan
 10. Pengenalan Asas Komputer

SISTEM PERSEKOLAHAN

Umur : PASTI menerima kanak-kanak yang berumur 4, 5 dan 6 tahun.
Masa belajar : Mesti mencukupi tiga jam termasuk waktu rehat

Hari Persekolahan : Sama seperti hari persekolahan biasa (Ahad – Khamis / Isnin – Jumaat).

Cuti Am dan Cuti Peristiwa

Cuti am dan cuti kelepasan berdasarkan takwim Kerajaan Pusat dan Negeri. Di samping itu, PASTI berhak mengambil 5 hari Cuti Peristiwa dalam setahun (contohnya cuti sehari selepas Sukan atau Lawatan) dengan dimaklumkan terlebih dahulu kepada ibubapa pelajar.

Pakaian Rasmi

a) Lelaki :

Seluar dan Baju Melayu berwarna hijau muda berserta kopiah hijau-putih dan berlencana

b) Perempuan :

Jubah atau jubah mini berseluar berwarna hijau muda dan berkain tudung putih bulat serta berlencana

Had Maksima bilangan murid

Bilangan murid mestilah tidak melebihi 25 orang bagi seorang guru.
 
SISTEM PENILAIAN

Peperiksaan akan diadakan 2 kali dalam setahun iaitu :
a) Peperiksaan bagi semester 1 : (Mei atau Jun)
b) Peperiksaan bagi semester 2 : Oktober

Pemarkahan dibuat berdasarkan Ujian Rujukan Kriteria (URK)